PETALING JAYA – Perkhidmatan tren Laluan Kajang mengalami kelewatan petang tadi selepas perjalanan tergendala akibat kehadiran objek asing di atas landasan antara Stesen Pusat Bandar Damansara dan Phileo Damansara.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.32 petang itu menyebabkan tren terpaksa dihentikan sementara bagi tujuan keselamatan sebelum pasukan kejuruteraan Rapid Rail digerakkan ke lokasi untuk kerja-kerja baik pulih.
Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn. Bhd. hari ini, insiden itu berpunca daripada pelanggaran antara tren dengan objek asing dan telah menghalang pergerakan tren di laluan berkenaan.
“Sebagai langkah keselamatan, perkhidmatan tren dan bas alternatif disediakan bagi menghubungkan stesen yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara langkah alternatif yang diambil ialah tren dari Kwasa Damansara akan berpatah balik di Phileo Damansara, manakala tren dari Kajang berpatah balik di Semantan.
Selain itu, perkhidmatan bas perantara turut disediakan untuk membawa penumpang antara Phileo Damansara dan Semantan bagi memudahkan pergerakan pengguna.
Rapid Rail memaklumkan, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform dan ruang legar bagi membantu penumpang serta memastikan kelancaran perjalanan.
“Pasukan kejuruteraan kami kini sedang menjalankan kerja baik pulih dan usaha sedang digiatkan untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin,” jelas kenyataan itu lagi.
Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran penumpang sepanjang tempoh gangguan berkenaan.- KOSMO! ONLINE