BANGKOK – Sebuah syarikat dron dari China melancarkan ujian teksi terbang pertama di Thailand dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Ujian itu dilakukan bagi menguji pesawat tersebut untuk pengangkutan bandar.
Gergasi penerbangan EHang telah membawa teknologi teksi terbang ke Asia Tenggara melalui ujian itu.
Dilancarkan di Bangkok, inisiatif itu membolehkan EHang menjalankan ujian operasi sebenar bagi pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).
Penerbangan ujian telah bermula di Bangkok dengan rancangan untuk diperluas ke kawasan pelancongan popular termasuk Pattaya, Koh Larn, Phuket dan Koh Samui.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand, Mejar Jeneral Manat Chavanaprayoon berkata, negara itu berada di landasan betul untuk menjadi yang pertama di dunia melancarkan perkhidmatan eVTOL komersial.
“Kami sedang membuktikan bahawa teknologi ini mampu berfungsi sebelum ia dikembangkan secara meluas,” katanya. – AGENSI