PETALING JAYA – Drama perceraian pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli terus berpanjangan apabila aktres itu mendakwa tarikh pernikahannya dimanipulasi pihak tertentu.
Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, menjelaskan bahawa dia sedia maklum dinikahkan pada 5 November 2021 namun dalam sijil nikah tertera tarikh 4 November.
“Allah Maha Besar, masya-Allah satu lagi (permasalahan). Aku dinikahkan dan diakad atas pengetahuan aku ada 5 November 2021 pukul 9 pagi.
“Tapi di sijil nikah aku dinikahkan ada 4 November 2021 pada pukul 9.30 malam. Allahuakhbar, adakah sah perkahwinan ini?
“Selama ini aku diperbodohkan seluruh keluarganya dan bapa saya dimanipulasikan si dia (Kamal) serta keluarga untuk kata saha sebab dah ada wali,” katanya dalam hantaran Instagram.
Disebabkan itu, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu meminta pandangan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan mendalam mengenai permasalahan dalam pernikahan.
“Tanpa pengetahuan bakal isteri? Sah ke? Cukup ke syarat sah kahwin?

“Ustaz dan ustazah mohon tolong saya,” katanya lagi.
Hari ini, Uqasha mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk prosiding pertama kes perceraian.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh 28 Oktober bagi prosiding kedua bagi perceraian pasangan selebriti Uqasha dan Kamal.
Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah yang difahamkan dengan alasan sibuk menjalani penggambaran.
Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas tersebar spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka di ambang kehancuran pada April lalu.
Untuk rekod, mereka bernikah pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE