KUALA LUMPUR – Ketahanan mental dan fizikal Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil terus menjadi tumpuan apabila menggalas cabaran pada Spartan Race Malaysia minggu lalu.
Pada usia 55 tahun, baginda membuktikan bahawa ia sekadar angka apabila berjaya menamatkan perlumbaan tersebut dengan penuh bergaya walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan mencabar.
Bagi Tuanku Lailatul Shahreen yang sudah menyertai acara tersebut sejak 2016, Spartan Race bukan sekadar pertandingan fizikal tetapi turut menjadi medan untuk menguji keazaman serta karakter seseorang.
“Setiap perlumbaan itu memaksa diri kita untuk keluar dari zon selesa dan setiap kali menamatkan saingan, kita menjadi lebih kuat. Itulah semangat Spartan, berani menghadapi halangan dan tidak pernah menyerah kalah.

“Saya suka mencabar diri sendiri dan membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Kecergasan memberi tenaga serta menguatkan minda, jadi saya harap perjalanan ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menjelaskan, ada beberapa halangan cukup mencabar sepanjang perlumbaan di Gamuda Cove itu, terutamanya halangan yang memerlukan kekuatan bahagian atas badan.
“Halangan seperti Sandbags, Slip Wall, The Bender, Tyrolean Traverse dan Stairway to Sparta sentiasa mencabar bagi saya. Bagaimanapun, itulah keindahan Spartan kerana anda tidak perlu sempurna, cukup hanya berikan yang terbaik.
“Saya percaya acara seperti ini mampu menyatukan rakyat. Anda akan lihat rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang saling memberikan sokongan dan inilah semangat yang kita perlukan,” ujar Tuanku Lailatul Shahreen. – KOSMO! ONLINE