KOTA TINGGI – Pemuda yang maut dalam kemalangan meragut dua nyawa selepas kenderaan Toyota Vios dinaiki terbakar di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau – Sedili awal pagi tadi baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-21, semalam.
Ibunya, Kasmaazleena Kamsan, 47, berkata, anaknya, Muhammad Daniel Saberi ada memaklumkan kepadanya malam tadi bahawa dia keluar menyambut ulang tahun kelahirannya bersama teman wanitanya, Aiza Nur Elysha Sabri, 17, yang turut maut dalam kejadian itu.
“Petang semalam dia ada keluar rumah kira-kira pukul 3 petang. Kemudian malam tadi dia ada hubungi saya tunjuk gambar dia dan kawan wanitanya itu pergi makan sambut hari jadinya.
“Saya tanya dekat mana dia kata dekat Stulang. Saya cakap ‘jauhnya, nanti esok Uda nak kerja kalau penat, mengantuk macam mana’. Buat sementara ini dia tidak berkhidmat di askar dan dia bekerja Grab.
“Dia kata ‘tak la ibu, sekejap je. Lepas makan ni Uda hantar baby (Aiza Nur Elysha) balik’. Kemudian saya telefon pukul 4 pagi, pukul 5 pagi tak angkat-angkat. Saya kata ‘mana budak ni, tak pernah pula dia tak angkat telefon saya’,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata, dia kemudian beranggapan bahawa anaknya itu tidur di rumah keluarga teman wanitanya itu sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis kira-kira pukul 6 pagi.
Katanya, ketika itu polis memaklumkan anaknya terlibat kemalangan dan menyuruhnya hadir ke unit forensik HKT. Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi hari ini.-KOSMO! ONLINE