KLANG – Helah mengisytiharkan rokok elektronik (vape) bernilai RM1.3 juta termasuk cukai sebagai ‘kotak simpanan’ gagal selepas dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Zon Bebas Pelabuhan Barat, baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 9 September lalu, pemeriksaan terhadap sebuah kontena membawa kepada puluhan ribu unit vape dengan mengandungi cecair nikotin dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 900,000 mililiter (ml)
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya dengan kesemua vape itu dipercayai cuba diseludup masuk bagi pasaran tempatan.
Katanya, pengimportan cecair nikotin adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 30,000 unit komoditi vape dengan setiap unit turut mengandungi 30 ml.
“Vape itu telah diikrar sebagai kotak simpanan dan siasatan lanjut masih dijalankan, ” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas 480 unit panel paparan Diod Pemancar Cahaya hasil pemeriksaan dan sitaan terhadap dua buah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 5 Ogos lalu.
Tegasnya, rampasan bernilai RM2.52 juta itu dipercayai tidak mempunyai permit import dengan isytiharkan termasuk sebagai kelengkapan perkakasan.
“Selain itu, sejumlah 19,000 kilogram beras bernilai RM106,400 dipercayai dari negara benua Asia turut dirampas selepas juga didapati tidak mempunyai permit import.
“Modus operandinya adalah mengikrarkannya sebagai bahan kimia,” katanya. – KOSMO! ONLINE