KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh terlibat dalam kes penggubahan wang haram, seorang guru yang akan bersara tidak lama lagi kerugian RM446,200 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Lelaki berusia 59 tahun yang membuat pembiayaan peribadi, menggunakan kad kredit dan meminjam wang ahli keluarga untuk diserahkan kepada scammer tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 3.40 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, guru terbabit telah dihubungi individu mendakwa wakil sebuah syarikat insurans pada 28 Jun lalu.
“Mangsa didakwa membuat tuntutan perubatan sebanyak RM12,000 sebelum panggilannya disambungkan pula kepada individu lain yang mendakwa kononnya pegawai polis.
“Dia terkejut apabila didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram bersama seorang lelaki lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, guru tersebut kemudiannya diarahkan menghubungi dua individu lain yang mendakwa kononnya pegawai Jabatan Kehakiman Sabah bagi menyelesaikan kes tersebut.
Beliau berkata, lelaki itu semakin gelabah apabila ditunjukkan dokumen kononnya kertas siasatan dan waran tangkap terhadapnya sebelum diarahkan membayar wang jaminan dan kos guaman jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
“Dia juga dilarang memaklumkan penyiasatan kes melibatkan dirinya kepada pihak lain termasuk ahli keluarga kononnya disebabkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya. – KOSMO! ONLINE