fbpx
Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan. Foto IHSAN PMO.

Dasar keterjaminan makanan negara diperkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan sedang memuktamadkan satu dasar baharu bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pendekatan lebih mampan dan berorientasikan teknologi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Melalui satu hantaran di laman media sosial, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar itu akan menjadi strategi utama bagi memacu industri pertanian dan agromakanan negara secara menyeluruh.

Katanya, dasar berkenaan turut bertujuan memperkukuh daya tahan sektor pertanian serta memastikan sistem agromakanan negara kekal stabil dan produktif.

“Dasar ini akan memberi penumpuan kepada pengeluaran pertanian yang cekap dan mampan, diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat serta pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan terangkum,” katanya.

Beliau menjelaskan, dasar berkenaan juga akan menjadi tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks di peringkat global.

“Satu dasar sedang dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks, menerusi pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti,” jelasnya.

Menurut Anwar, pelaksanaan dasar itu turut akan diperkuat dengan perundangan khusus bagi menyeragamkan tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian terlibat.

“Langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus, selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar
Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan keterjaminan makanan menjadi keutamaan nasional di bawah kerangka Malaysia Madani.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI