KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan maut dengan kesan luka di kepala di Persiaran Ara Kiri, Bangsar, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan berdekatan Menara UOA Bangsar kira-kira sembilan jam selepas mayat mangsa ditemui.
“Hasil siasatan awal mengesahkan suspek merupakan rakan mangsa yang baru dikenalinya kira-kira sebulan lalu dan kedua-duanya tinggal di bawah jejambat di Jalan Bangsar.
“Suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan memaklumkan berlaku selisih faham pada malam kejadian sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia selepas ditolak jatuh ke dalam saluran air di belakang bangunan kedai yang tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dengan penangkapan itu, ujarnya, pihak polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh kurang daripada sembilan jam selepas laporan diterima.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan maut di kaki lima sebuah restoran di Jalan Ara Kiri.
Chang Hook dilapor berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 10.21 malam dan melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai gelandangan.
Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.03 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE