IPOH – Bau busuk yang dihidu seorang lelaki ketika memberi makan ikan membawa kepada penemuan mayat di kawasan tasik di Tiara Lake View Plaza, Lahat di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat penemuan mayat lelaki dipercayai warga tempatan itu dilaporkan kepada polis pada pukul 5.40 petang.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, didapati mangsa dalam keadaan tertiarap dan terapung dekat tebing tasik dengan berpakaian lengkap serta berkasut.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar tidak menemui kesan darah, pergelutan mahupun barangan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian.
“Malah, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada kenderaan yang lama ditinggalkan atau mencurigakan ditemui di kawasan sekitar,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan awal oleh pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan pada tubuh mangsa yang dalam keadaan membusuk.
“Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa namun lelaki itu dipercayai warga Malaysia berdasarkan kesan suntikan BCG di bahu kiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














