fbpx
Pengerusi Jawatankuasa Syariah & Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AEON Bank, Wan Rumaizi Wan Husin (tengah) diiringi oleh Aizuddin Danian (kanan); Ikhlas (dua, kiri); Ketua Pegawai Syariah AEON Bank, Ibrahim Hassan (dua, kanan) dan Ketua Jualan ikhlas.com, Mohd. Wafiyuddin Mustaqim Safawi pada majlis memperkenalkan MyIKHLAS Umrah Savings Pot.

AEON Bank, ikhlas.com dorong simpanan bermatlamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bank digital Islam pertama di Malaysia, AEON Bank (M) Berhad mengumumkan kerjasama dengan ikhlas.com bagi memperkenalkan tabung simpanan bertema, iaitu MyIKHLAS Umrah Savings Pot.

Tersedia buat pelanggan bermula 17 Oktober 2025, tabung tersebut membolehkan pelanggan merancang perjalanan kewangan dan kerohanian secara serentak dengan menggabungkan kemudahan digital AEON Bank bersama tawaran perkhidmatan mesra Muslim oleh ikhlas.com.

Selain menggalakkan pelanggan menabung dengan matlamat yang jelas, kemudahan itu turut menyediakan pelbagai ganjaran buat penyimpan yang berjaya memenuhi matlamat tabungan mereka, termasuk pemberian baucar dan mata ganjaran.

Sebanyak tiga pelan disediakan iaitu untuk simpanan tiga bulan, enam bulan dan 12 bulan dengan matlamat simpanan minimum RM5,000, berpadanan dengan pakej umrah ditawarkan ikhlas.com yang bermula daripada RM4,990.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya menerbangkan sekitar 6,000 hinga 7,000 jemaah umrah setahun dan kerjasama tersebut diharapkan bakal menyumbang kepada jumlah tersebut.

“Kerjasama strategik bersama AEON Bank mencerminkan visi bersama dalam memanfaatkan inovasi digital bagi memperkayakan kehidupan sambil mengekalkan nilai syariah, keterangkuman serta pemerkasaan kewangan.

“Kami berharap dapat meneruskan usaha ini bersama AEON Bank untuk jangka masa panjang dalam membangunkan penyelesaian yang dekat di hati dan minda pengguna Muslim moden,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Peribadi AEON Bank, Aizuddin Danian Izham Cheong berkata, pihaknya menyediakan 20 savings pot yang berbeza bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan untuk menabung termasuk bagi tujuan percutian, atau membeli kediaman dan kenderaan.

“Selain membantu pelanggan menguruskan simpanan, ia juga memberikan ia juga memberikan kadar keuntungan tiga peratus setahun, yang boleh dianggap tinggi untuk masa sekarang,” ujarnya.

MyIKHLAS Umrah Savings Pot direka untuk kemudahan maksimum melalui aplikasi AEON Bank, di mana pelanggan boleh membuat permohonan sepenuhnya secara dalam talian dari mana-mana sahaja. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI