PETALING JAYA – Peguam mewakili pelakon Kamal Adli, Abdul Hadi Mohamad Salleh memaklumkan bahawa anak guamnya masih mahu mempertahankan rumah tangganya dengan aktres Uqasha Senrose.
Pada masa sama, dia percaya pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga agar tidak berlaku perceraian.
“Setakat perbincangan kami, Kamal memang nak pertahankan perkahwinan.
“Saya yakin pihak Kamal ada usaha yang dilakukan, cuma tak pasti bagaimana berlaku kerana itu peribadi mereka.
“Apa yang saya tahu, dia memang ada usaha,” katanya kepada Kosmo! Online ketika dihubungi sebentar tadi.
Selain itu, Abdul Hadi memaklumkan Kamal dalam keadaan baik walaupun kecoh mengenai kehadiran Uqasha di mahkamah pagi tadi.
“Setakat hari ini, Kamal dalam keadaan okey. Dia maklum mengenai perceraian ini dan selepas itu dia lantik saya sebagai peguam.
“Apa yang ditulis dalam permohonan cerai adalah ketidaksefahaman dan ada masalah berpanjangan namun tak sebut sejak bila.
“Dalam alasan tidak ada menyebut mengenai sama ada tinggal sebumbung atau tidak, jadi saya tak boleh ulas apa-apa mengenainya,” katanya lagi.
Ditanya mengenai hantaran Uqasha mengenai kekeliruan status pernikahan, Hadi enggan ulas memandangkan tidak mengetahui perkara tersebut.
“Saya tak semak lagi hantaran yang dimuat naik Uqasha.
“Saya tak dapat komen apa-apa sebab tak tahu lagi mengenainya,” tuturnya.
Hari ini, Uqasha mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk prosiding pertama kes perceraian.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh 28 Oktober bagi prosiding kedua bagi perceraian pasangan selebriti Uqasha dan Kamal.
Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah yang difahamkan dengan alasan sibuk menjalani penggambaran.
Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas tersebar spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka di ambang kehancuran pada April lalu.
Untuk rekod, pasangan ini telah bernikah pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira. – KOSMO! ONLINE