JOHOR BAHRU – Sembilan pasangan menyambut ‘raya’ dalam bilik hotel sempena cuti hujung minggu sambutan perayaan Deepavali menerima padah apabila mereka dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), malam semalam.
Pasangan berusia antara 16 hingga 24 tahun yang ditahan itu ada diantaranya datang jauh dari negeri lain termasuk empat warga Indonesia dan seorang warga Pakistan beragama Islam.
Sumber JAINJ dalam kenyataannya berkata, serbuan dilakukan di beberapa buah hotel di Masai dan Pasir Gudang bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi semalam.
Katanya, tiga wanita yang berumur 16 hingga 20 adalah merupakan pelajar di sekitar negeri Johor ini dan datang ke Pasir Gudang dan Masai hanya semata-mata untuk menemui pasangan masing-masing.
“Semua tangkapan kali ini merupakan pasangan bujang, malah ada di antara mereka sudah mempunyai ikatan pertunangan serta hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan.
“Kebanyakan pasangan hanya memberikan alasan sudah terlalu lewat untuk pulang ke kediaman masing-masing hingga menyebabkan mereka terpaksa menyewa bilik hotel sebelum pulang keesokan harinya,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, berikutan kesalahan itu, semua 18 orang tangkapan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor yang membawa hukuman dengan RM3,000 atau penjara dua tahun.-KOSMO! ONLINE