fbpx
Tangkap layar video Arakan Prince yang sebelum ini pelarian Rohingya di Malaysia memperagakan pakaian dalam satu acara di Amerika Syarikat.

[VIDEO] ‘Dulu saya hanyalah pelarian Rohingya di Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pelarian Rohingya yang sebelum ini dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia kini berjaya mencapai impiannya sebagai model di Amerika Syarikat (AS).

Menerusi perkongsikan oleh Arakan Prince pada Instagram, pemuda tersebut yang berketurunan Arakan Rohingya memaklumkan, dia meminati bidang seni dan peragaan sejak di Malaysia.

“Satu ketika dahulu, saya hanyalah seorang pelarian Rohingya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Walaupun berketurunan Arakan Rohingya, Malaysia tetap tanah air saya, tempat di mana saya belajar erti kesabaran, perjuangan dan semangat untuk terus maju.

“Sejak di Malaysia lagi, saya sudah meminati bidang seni dan peragaan. Saya pernah terlibat dalam pelbagai pertunjukan fesyen, projek peragaan tempatan, serta berlakon dalam drama televisyen dan penggambaran untuk majalah serta iklan jenama antarabangsa,” katanya pada hantaran itu.

Dia berkata, setelah tiba di AS, kehidupannya mula berubah dan dari situ pemuda tersebut mengejar impiannya sehingga menjadi kenyataan.

“Saya jarang berkongsi pencapaian dan status sebagai pelarian kerana tahu ia boleh menimbulkan salah faham dan masalah. Saya hanya mahu dikenali melalui bakat, kerja keras dan dedikasi, bukan latar belakang sebagai pelarian.

“Saya sedar undang-undang di Malaysia mengehadkan peluang untuk individu seperti saya, tetapi saya tetap berterima kasih kepada Malaysia kerana di sana lah saya belajar tentang ketabahan, disiplin dan nilai usaha yang tidak pernah kenal putus asa,” katanya.

Arakan Prince berkata, dia melangkah ke dunia fesyen bukan hanya sebagai seorang model, tetapi sebagai suara bagi komuniti Arakan Rohingya.

“Saya membuktikan bahawa asal usul bukan halangan, tetapi kekuatan yang membentuk siapa kita hari ini. Saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa kita, sebagai orang Arakan Rohingya juga mempunyai bakat, potensi dan nilai tersendiri untuk disumbangkan kepada dunia.

“Saya mahu menjadi inspirasi kepada semua anak muda tidak kira latar belakang, bangsa atau status sebagai pelarian agar terus berani mengejar impian mereka. Kerana tiada siapa yang dapat menentukan masa depan kita, selain diri kita sendiri,” katanya.

Arakan Prince yang masih fasih berbahasa Melayu turut mengucapkan penghargaan kepada negara Malaysia.

“Terima kasih Malaysia kerana menjadi titik permulaan perjalanan saya. Terima kasih Amerika Syarikat kerana membuka ruang untuk saya terus melangkah dan bersinar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Prince (Putera) (@arakanprince_)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN