fbpx
Farahin Ellias menerima Anugerah Wiramuda Ulung yang diserahkan oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Seri Abdul Aziz Zainal pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN di ibu negara, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

‘Sebelum ini minat jadi polis, lepas PLKN minat tentera pula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan demam berpanjangan hampir sebulan, pelatih wanita terbaik Kem 515, Nur Farahin Ilias, tetap cekal menamatkan latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 dengan penuh semangat juang.

Pelatih berusia 24 tahun yang berasal dari Air Hitam, Muar, Johor itu mengakui cabaran terbesar sepanjang tempoh 45 hari di kem latihan ialah tahap kesihatannya, namun semangat untuk menamatkan program menjadi kekuatan utama.

“Saya dah hampir sebulan demam, tapi saya cuba gagahkan diri juga untuk ‘all out’, habiskan segala aktiviti yang ada dan jadi antara yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 hari ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sunnah dan Pengurusan Maklumat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)itu berkata, latihan berunsur ketenteraan yang diterapkan sepanjang PLKN banyak mengubah dirinya terutama dari segi disiplin dan pengurusan masa.

Menariknya, Nur Farahin turut mendedahkan bahawa penyertaan dalam PLKN mengubah cita-citanya.

“Sebelum ini saya minat nak jadi pegawai polis, tapi selepas masuk PLKN, saya lebih tertarik dengan Tentera Darat Diraja Malaysia sebab disiplin dan semangat juang yang tinggi,” katanya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, semangat ketenteraan juga diwarisi daripada arwah datuknya yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera.

Nur Farahin yang menyertai PLKN secara sukarela berkata, dorongan daripada rakannya yang kini menjadi pegawai kadet graduan turut menjadi pendorong kuat untuknya menyertai program tersebut.

“Dia dulu sertai siri satu dan sekarang dah berjaya jadi pegawai kadet. Saya kagum dengan perjalanan dia dan saya nak ikut jejak yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pengumuman mengenai merit tambahan kepada alumni PLKN yang bakal memberi kelebihan kepada peserta dalam kemasukan ke sektor awam dan pendidikan tinggi.

“Saya rasa bersyukur sebab sedikit sebanyak merit ini dapat bantu saya ke arah cita-cita menjadi pegawai tentera,” ujarnya.

Majlis perbarisan tamat latihan yang diadakan secara serentak di dua kem latihan itu menyaksikan seramai 525 pelatih terdiri daripada 340 lelaki dan 223 wanita berjaya menamatkan latihan yang bermula pada 7 September hingga 21 Oktober 2025. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI