SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang maut, manakala rakan wanitanya parah selepas motosikal yang ditunggang terlanggar sebuah kenderaan di Kilometer 46, Jalan Alor Setar-Butterworth, Bedong di sini ketika pulang dari majlis perkahwinan semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, Muhammad Shazwan Shabudin, 24, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng, Nur Anis Aliah Abdullah, 18, patah paha dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, nahas melibatkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR dinaiki dua mangsa itu dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dipandu seorang suri rumah.
“Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Gurun menghala ke Sungai Petani dan setibanya di lokasi telah terlanggar sebuah MPV yang datang dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
“Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke tengah jalan dengan penunggang motosikal maut di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang waris mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa baru sahaja menghadiri majlis kenduri kahwin seorang ahli keluarga Muhammad Shazwan di Alor Setar. – KOSMO! ONLINE