KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menegaskan bahawa sebarang perhimpunan awam yang ingin diadakan di ibu negara tidak boleh sama sekali mengganggu kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan, sebarang perhimpunan yang ingin diadakan tidak boleh mengganggu kelancaran lalu lintas mahupun menjejaskan ketenteraman awam.
“Kepada mana-mana pihak yang terlibat dan rasa ingin mengajurkan apa-apa perhimpunan, ‘we are very clear’, saya tegaskan jangan ganggu majlis.
“Jangan ada aktiviti yang menganggu majlis, laluan dan kententeraman awam. Kalau ada yang terlibat dalam mana-mana yang saya sebut, polis KL akan mengambil tindakan tegas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil turut berkata, setakat ini pihaknya ada menerima permohonan untuk menganjurkan perhimpunan di ibu kota daripada pihak tertentu.
“Kita ada juga terima awal (permohonan) dan kita akan menguruskannya dengan baik. Kita akan berurusan dengan pihak penganjur.
“Pesanan saya kepada masyarakat yang ingin terlibat, rujuk kepada arahan keselamatan seperti tiga arahan yang saya jelaskan tadi,” ujarnya.
Sementara itu, Fadil berkata beberapa laluan utama di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada ASEAN ke-47 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Beliau sekali gus berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama penuh dengan merancang perjalanan serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perlaksanaan lencongan jalan dan penyuraian trafik sempena penganjuran ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di ibu negara.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi dari negara-negara anggota ASEAN serta delegasi antarabangsa, menjadikan aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas sebagai keutamaan utama sepanjang acara tersebut. – KOSMO! ONLINE