fbpx
EPL dilapor bakal memperkenalkan peraturan mengehadkan perbelanjaan kelab, sekali gus mencetuskan reaksi yang pelbagai. - AFP

EPL berisiko hilang status liga terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASUKAN gergasi Liga Perdana Inggeris bakal berdepan tamparan sengit apabila pentadbir saingan berkenaan dilapor bakal memperkenalkan peraturan baharu yang bertujuan meneruskan kelangsungan liga tersebut.

Biarpun pada mulanya dianggap mustahil, namun peraturan itu kelihatan semakin hampir untuk dilaksanakan apabila akan mengehadkan jumlah perbelanjaan dengan gandaan jumlah diterima oleh pasukan terbawah.

Peraturan itu bermakna semua kelab hanya boleh membelanjakan lima kali ganda jumlah perbelanjaan pasukan yang berada di kedudukan terbawah untuk ‘kos skuad ‘ termasuk gaji pemain dan ketua jurulatih, pelunasan bayaran perpindahan sepanjang kontrak dan yuran ejen.

Berdasarkan angka 2023/24, itu bermakna had anggaran perbelanjaan adalah sekitar £550 juta (RM3.12 bilion) sekali gus menjadikan sesetengah pihak akan terdedah risiko tinggi pelanggaran peraturan.

Malah, perbincangan itu turut melibatkan cadangan hukuman apabila kelab yang melakukan kesalahan boleh berdepan pemotongan enam mata dan potongan tambahan untuk setiap £6.5 juta (RM36.85 juta) lebihan perbelanjaan.

Setakat ini, kedua-dua kelab Manchester dilaporkan sedia menentang sistem yang akan diperkenalkan tersebut dengan alasan ia mampu merampas status EPL sebagai liga terbaik di dunia serta kehilangan ramai pemain berprofil tinggi.

Selain itu, pengkritik percaya langkah itu akan menghalang kelab EPL menawarkan gaji sama seperti yang ditawarkan oleh kelab-kelab elit dan kaya serta bakal menyaksikan pemain seperti Erling Haaland dan Mo Salah menuju ke Real Madrid, Barcelona atau Bayern Munich.

Peraturan itu juga dianggap membuka pintu yang luas buat kelab-kelab dari Arab Saudi untuk menggunakan kuasa wang menarik pemain-pemain berstatus bintang menyertai mereka dengan tawaran lumayan selepas sekian lama mendambakan kehadiran mereka.

Pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe mengakui pengenalan peraturan berkenaan hanya akan menjadikan EPL tidak lagi menarik untuk disaksikan dan kelab-kelab mereka tidak akan mampu bersaing menentang Real, Barcelona, PSG dan Bayern Munich pada pentas saingan Eropah.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) juga turut menentang keras cadangan memperkenalkan peraturan tersebut dan mengakui bimbang wakil-wakil kelab akan melakukan undian itu tanpa menyedari implikasi yang bakal dihadapi.

Perkembangan itu juga menyebabkan kelab tidak akan bersedia membuat pelaburan terhadap proses pembangunan pemain ekoran had perbelanjaan selain ia menyebabkan pemilik-pemilik kelab akan menjadi lebih kaya untuk jangka masa pendek apabila tidak perlu mengeluarkan modal besar.

Draf cadangan peraturan setebal 25 muka surat telah pun dibentangkan kepada kelab dengan undian yang akan diadakan pada mesyuarat 21 November nanti dengan sebarang pindaan mungkin dibuat kemudian.

Sekiranya lebih daripada dua pertiga kelab mengundi menyokong cadangan pelaksanaan peraturan baharu itu, sistem berkenaan akan mula digunakan mulai musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN