BOGOTA – Colombia memanggil pulang dutanya ke Amerika Syarikat (AS) susulan perbalahan Presiden Gustavo Petro dengan rakan sejawat beliau, Donald Trump berhubung serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah bot nelayan di Laut Caribbean, lapor agensi berita United Press International.
Petro menuduh Tentera Laut AS membunuh seorang nelayan yang merupakan rakyatnya di perairan Colombia, bulan lalu.
Trump membalas dengan berkata, Washington telah menghentikan semua pembiayaan kepada Colombia yang pernah menerima dana AS$440 juta (RM1.8 bilion) bagi memerangi dadah pada 2023.
Trump menggelar Petro sebagai ‘bos dadah’ dan menuduh beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan pengeluaran dadah besar-besaran di Colombia.
Petro pula menolak tuduhan tersebut. Beliau sebaliknya mengumumkan bahawa Bogota telah merampas kira-kira 1,000 tan kokain dan menutup lebih 5,000 makmal dadah pada tahun lepas.
“Pegawai kerajaan AS melakukan pembunuhan dan melanggar kedaulatan di perairan Colombia. Nelayan tersebut, Alejandro Carranza tidak mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah dan hanya menangkap ikan.
“Tuduhan Washington bertentangan dengan maruah Presiden (Petro) yang tanpa jemu memerangi aktiviti dadah di Columbia,” kata pentadbiran Petro dalam satu kenyataan. – AGENSI