fbpx
Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di ibu negara, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Alumni PLKN 3.0 diberi merit khas nak kerja ‘gomen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal menerima merit tambahan dalam proses pertimbangan permohonan pekerjaan di sektor awam sebagai langkah mengiktiraf semangat patriotisme dan kepimpinan yang diterapkan sepanjang latihan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Seri Dr. Abdul Aziz Zainal, berkata inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menghargai peranan generasi muda yang telah melalui latihan di bawah program tersebut.

Menurutnya, PLKN 3.0 bukan sekadar melibatkan latihan fizikal semata-mata, tetapi turut menekankan aspek kepimpinan, semangat berpasukan serta nilai kesukarelawanan yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri belia Malaysia.

“Dengan pemberian merit tambahan ini, kerajaan menghantar mesej jelas bahawa nilai patriotisme dan disiplin yang diterapkan dalam PLKN amat dihargai dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 Kem 515, di Kem Askar Wataniah, Kementah, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada peserta yang menunjukkan semangat tinggi untuk berbakti kepada negara selepas menamatkan latihan.

“Melalui penetapan baharu itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperuntukkan kuota khas sebanyak 30 peratus kepada alumni PLKN 3.0 yang menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) bagi dipertimbangkan ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mengiktiraf Sijil PLKN 3.0 sebagai dokumen sokongan rasmi dengan pemberian sehingga lima markah merit bagi penglibatan kokurikulum dalam proses pengambilan.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) turut menyediakan keutamaan 30 peratus kuota temu duga kepada alumni PLKN 3.0 yang melepasi tapisan asas PSEE.

Sementara itu, Suruhanjaya Pasukan Polis (SP Polis) menawarkan tambahan satu peratus merit di peringkat temu duga kepada calon PLKN 3.0 yang memenuhi syarat asas pelantikan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) pula akan mempertimbangkan merit khas kepada alumni PLKN 3.0 untuk pemilihan sebagai Perajurit Muda atau Pegawai Kadet, tertakluk kepada syarat pelantikan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI