PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya sambil menghalang laluan sebuah ambulans di lebuh raya semalam mengundang kecaman netizen selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video oleh salah seorang petugas ambulans terbabit, Syakirin Syafi di TikTok, sekumpulan penunggang motosikal dengan lagak aksi ‘superman’ dilihat menunggang secara beriringan dan menghalang laluan kanan lebuh raya sehingga menyebabkan ambulans tidak dapat melepasi kenderaan mereka.
Video berdurasi 33 saat itu turut memperdengarkan ambulans berkenaan membunyikan siren dan hon berulang kali namun tidak diendahkan kumpulan terbabit yang terus melakukan aksi meniarap di atas motosikal dengan laju.
“Kami respon satu kes MVA (kemalangan jalan raya) car skidded (kereta yang terbabas) di lebuh raya.
“Kami ini dah la nak cepat, lepas itu dalam perjalanan ke sana (lokasi kemalangan), ada pula genga-geng budak tak berapa cerdik ni buat aksi bangang depan kami. Kami bagi hon mereka buat tak tahu. Betul-betul menyusahkan orang!,” katanya di ruang kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat lebih 550,000 tontonan selepas 12 jam ia dimuat naik.
Rata-rata pengguna meninggalkan komen kecaman terhadap kumpulan penunggang motosikal terbabit selain ada yang meminta pihak berkuasa mengeluarkan saman susulan bukti jelas pada rakaman tersebut.
“Apa lagi, saman la geng superman ini, sebab kan mereka, mungkin ada nyawa yang melayang sebab pasukan kesihatan lambat sampai lokasi kemalangan,” kata Rizal.
“Nak marah pun tak guna. Masa depan polis trafik di tangan mereka juga,” seloroh @Unbothered.
“Mereka nak rasa naik ambulans agaknya, kalau naik ambulans tandanya hidup lagi, kalau naik kereta polis, innalillahiwainnailaihirojiun,” perli Siti Aisyah. – KOSMO! ONLINE
@syafievans Kami respond satu kes mva car skidded di highway . Kami ni dah la nak cepat lepastu Dalam perjalan nak kesana ada pulak geng² budak tak berapa cerdik ni buat aksi bangang pulak depan kami. Kami bagi hon pon depa buat tak tahu . Haish betul² menyusahkan org depa ni. #fyp #CapCut ♬ original sound – SyakirinSyafi