TANJUNG MALIM – Seorang wanita berusia 32 maut, manakala suaminya cedera selepas kereta Toyota Vios yang mereka naiki terbabas di Kilometer (KM) 96, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa, Nur Syuhada Mohd. Yusoff yang beralamat di Pengkalan Kubor, Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.
“Suaminya Muhammad Aiman Shah Asba berusia 34 tahun yang memandu kereta tersebut cedera ringan. Ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kereta itu hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya hari ini.
Menurut beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE