PETALING JAYA – Innoqua Inc. dari Jepun bersama anak syarikatnya, Innoqua Asia Sdn. Bhd. (Innoqua Asia) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam penyelidikan terumbu karang dengan menggunakan teknologi inovatif Biosphere Transfer Technology.
Melalui MoU ini, Innoqua dan UMT akan bekerjasama dalam mendapatkan kelulusan peraturan serta menjalankan penyelidikan eksperimen yang melibatkan teknologi tersebut di Malaysia.
UMT akan berperanan sebagai institusi penyelidikan tempatan yang menyokong usaha ini melalui kepakaran dalam sains marin, ekologi pesisir dan pemuliharaan terumbu karang.
Ketua Pegawai Eksekutif Innoqua Inc, Yota Takakura berkata, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat penyelidikan dan inovasi baharu bagi pemuliharaan marin di rantau Asia Tenggara.
“Kerjasama ini dijangka memperkukuh rangkaian pemuliharaan marin serantau dengan penglibatan UMT dan Universiti Sains Malaysia (USM), serta organisasi seperti Leave a Nest Malaysia.
“Ia juga diharap dapat menjadi model pemuliharaan bersepadu yang menggabungkan aspek peraturan, penyelidikan dan pendidikan dalam memastikan kelestarian ekosistem marin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Innoqua Asia telah membangunkan teknologi Biosphere Transfer Technology, yang membolehkan replikasi ekosistem laut di daratan melalui sistem akuarium dilengkapi penderia IoT serta kawalan persekitaran berasaskan kecerdasan buatan.
Teknologi ini membolehkan penyelidik mewujudkan keadaan marin yang stabil bagi tujuan analisis dan kajian mendalam.
Tahun 2022, Innoqua Asia telah mencipta sejarah apabila berjaya merealisasikan pemijahan (pembiakan) karang pertama di dunia dalam persekitaran tertutup sepenuhnya.
Sejak itu, syarikat berkenaan aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi penyelidikan di peringkat antarabangsa untuk menggalakkan pemuliharaan dan penggunaan sumber marin secara lestari.
Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam usaha membawa kepakaran dan teknologi Jepun ke Malaysia, khususnya dalam bidang pemuliharaan marin dan pembangunan penyelidikan saintifik berasaskan inovasi. -KOSMO! ONLINE