fbpx
ISTERI Nubhan, Dr. Afifah Hidayah enggan mengulas lanjut isu orang ketiga yang dikatakan punca keretakan rumah tangganya.

‘Dia kenalan Nubhan, pernah bermalam di rumah kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kekal tenang, isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek lebih selesa tidak mengulas dakwaan seorang wanita yang dituduh netizen menjadi orang ketiga dalam perkahwinannya.

Kata doktor gigi bertauliah itu, biarlah perkara tersebut dijawab Nubhan, apatah lagi sebelum ini mereka sudah pun memberi maklum balas berhubung hal itu selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, baru-baru ini.

“Minta maaf ye. Saya dah bagi respons sebelum ini (di mahkamah). Atau pun cuba tanyakan kepada Nubhan sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Difahamkan penyanyi juga ahli perniagaan makanan itu kini masih berada di Korea Selatan bersama ibunya, Mak Jenny sejak minggu lalu.

Ditanya pula sama ada mengenali wanita terbabit, Afifah Hidayah, 36, atau mesra disapa sebagai Dr. Fie mengakui kenal individu berkenaan.

“Memang dia merupakan kenalan Nubhan, pernah datang dan bermalam di rumah kami,” ujarnya.

Terdahulu, anak kepada wanita yang dituduh menjadi punca pergolakan rumah tangga Nubhan dan Dr. Fie membuat laporan di ibu pejabat Polis Shah Alam, Selangor, kelmarin bagi membersihkan nama keluarga.

Mereka menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan serta memanipulasi foto peribadi yang mencetuskan fitnah.

Sebelum itu pada 16 Oktober lalu, kes permohonan pengesahan perceraian difailkan Nubhan terhadap isterinya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Berita perceraian yang dilaporkan Kosmo! Online sehari sebelum sebutan kes mengejutkan ramai, apatah lagi penyanyi terbabit juga pernah menceraikan isterinya itu pada 2017 iaitu ketika hamil anak pertama. Mereka bagaimanapun rujuk dalam idah.

Hanya memaklumkan tiada persefahaman, kemudian timbul pula spekulasi adanya orang ketiga, namun disangkal Nubhan ketika ditemui media selepas prosiding.

Selepas itu tersebar beberapa gambar beramai-ramai penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim enam (AF6) itu serta isterinya bersama beberapa individu termasuk seorang wanita berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI