PETALING JAYA – Pelakon Kamal Adli tampil menepis dakwaan rumah tangga yang dibina bersama Uqasha Senrose berantakan seperti yang tular dalam media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, segala spekulasi yang bertebaran termasuk mendakwanya tidak meluangkan masa bersama keluarga termasuk anak perempuannya, Hawra Uqaira adalah tidak benar sama sekali.
“Ada segelintir netizen yang membuat andaian saya tiasa masa untuk anak sendiri.
“Tak baik ya, tengok di atas (foto percutian bersama keluarga), banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.
“Saya adalah seorang ayah yang sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir fasal Hawra,” katanya dalam Instagram hari ini.
Tidak terhenti di situ, dia juga menegaskan sengaja menolak tawaran kerja selama beberapa bulan bagi meluangkan masa bersama keluarga.
Perkara tersebut sekaligus menafikan khabar angin dia tidak menerima sebarang tawaran kerja.
“Ada yang cakap saya tiada kerja selama tiga bulan, salah itu. Saya sengaja tidak ambil tawaran pekerjaan selama dua bulan untuk berehat selepas kerja ‘back to back’ dan dapat fokus kepada anak serta isteri,” ujarnya.
Tambah Kamal, setiap hasil kerjanya adalah mencukupi untuk menampung keluarganya.
“Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tidak putus, mencukupi untuk keluarga kecil saya.
“Paling penting isteri dan anak saya sihat dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
“Saya juga sangat bersyukur isteri dan anak dikelilingi ahli keluarga serta orang yang menyayangi mereka,” ujarnya.
Menerusi hantaran sama, dia berharap orang ramai berhati-hati dalam melemparkan sebarang kritikan mengenai rumah tangganya.
Dia bahkan memberitahu tidak banyak berkongsi mengenai hal peribadi dalam media sosial disebabkan trauma dengan insiden dirinya dicederakan seorang individu di Singapura pada tahun 2023z
“Kepada netizen yang meninggalkan komen negatif terhadap saya mahupun Uqasha.
“Urusan peribadi kami biarlah menjadi rahsia kami suami isteri. Saya cuma minta janganlah lakukan provokasi kepada isteri saya dia juga manusia.
“Kadang-kadang penat kerja dan stres. Apa yang terbaik ialah doakan isteri saya dan kami sekeluarga.
“Demi Allah, saya sangat sayangkan isteri saya dan anak,” katanya lagi.
Terdahulu, rumah tangga Uqasha dan Kamal kembali menjadi tumpuan selepas pasangan itu dikatakan tidak lagi saling mengikuti dalam media sosial.
Spekulasi keretakan rumah tangga semakin menjadi bualan hangat selepas Uqasha membuat siaran langsung dan menceritakan keletihannya ketika bekerja serta menjaga anak.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan Hawra pada April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE