BEIJING – Sebahagian penumpang menjerit ketakutan apabila kebakaran berlaku di dalam kabin memaksa pesawat mendarat cemas di Shanghai, China, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.
Situasi panik tercetus di dalam pesawat Air China selepas api berwarna jingga dan asap tebal keluar dari ruang simpanan bagasi di atas kepala penumpang.
Video yang dimuat naik di internet memaparkan beberapa penumpang dan kru kabin berkejar ke arah ruang bagasi yang terbakar untuk memadamkan api.
Jeritan dan laungan penumpang lain kedengaran dalam rakaman tersebut dengan sebahagian daripada mereka memanggil kru kabin supaya segera dalam bahasa Korea.
Pesawat jenis Airbus A321 yang sarat dengan penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Hangzhou, timur China ke Incheon, Korea Selatan.
Pesawat itu berada pada ketinggian lebih 10,000 meter apabila kebakaran berlaku.
Menurut penumpang, kru kabin berjaya memadamkan api sepenuhnya.
Pesawat itu kemudian terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan.
Air China kemudian mengesahkan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada ‘power bank’ atau pengecas yang disimpan di dalam bagasi kabin. – AGENSI