fbpx
Sebahagian kotak berisi vape yang ditinggalkan di Kuala Perlis, baru-baru ini.

Kastam Perlis rampas vape, ganja lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PERLIS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mematahkan cubaan menyeludup vape dan ganja bernilai lebih RM1 juta dalam tiga operasi berasingan di negeri ini bermula September hingga awal bulan ini.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, dalam operasi pertama pada 22 September lalu, pihaknya menemui 32,000 unit peranti vape yang disyaki cuba diseludup ke Thailand menerusi kawasan semak di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis.

“Kesemua peranti vape pelbagai jenis itu dianggarkan bernilai RM1.06 juta dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM223,020.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki cuba menyeludup barangan tanpa permit sah,” katanya di sini hari ini.

Katanya, modus operandi yang digunakan ialah dengan meninggalkan kotak berisi peranti vape di kawasan semak sebelum diambil individu lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas 11 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM46,200 dalam serbuan di kawasan tambak pesisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis pada 6 Oktober lalu.

“Pasukan operasi menjumpai satu kotak hitam berisi guni bertulisan Thai yang di dalamnya terdapat 11 ketulan mampat disyaki ganja,” jelasnya.

Sementara itu, dalam operasi ketiga pada 8 Oktober lalu, kastam menahan seorang wanita warga Thailand berusia 27 tahun di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar selepas menemui 1.735 kg ganja di dalam bagasi yang dibawanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI