PETALING JAYA – Kerja-kerja menaik taraf jajaran Redline Lebuh raya Pan Borneo (LPB) Sarawak bagi Pakej WPC11 melibatkan laluan Sungai Tangap ke Pujut Link Road kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal mencecah 99.98 peratus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 17 November depan.
“Seksyen Beluru telah pun siap lebih awal dan menerima Certificate of Practical Completion (CPC) pada 30 November 2024,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, antara mercu kejayaan utama di bawah pakej tersebut ialah pembinaan Jambatan Viaduct di Seksyen Lambir sepanjang 301.2 meter dengan 10 bentang (spans) dan 88 cerucuk (bored piles) berdiameter 1,200 milimeter.
“Jambatan ini dibina hasil langkah penyelesaian kejuruteraan selepas berlakunya pergerakan tanah yang menyebabkan berlakunya kelewatan kepada pembinaan sepenuhnya LPB Sarawak,” ujarnya.
Menurutnya, jambatan bernilai lebih RM57 juta itu telah dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas pada 17 September lalu.
“Ini membuktikan komitmen Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak dan rakan pelaksana projek terus utuh dalam memastikan setiap batu dan setiap meter jalan dibina dengan keutamaan terhadap keselamatan, mutu dan kelestarian,” katanya. – KOSMO! ONLINE