fbpx
CHINA

5 negara di dunia paling suka jalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJALAN kaki mempunyai banyak manfaat terutama dari sudut kesihatan fizikal dan mental selain mengeratkan hubungan sosial, menjimatkan kos serta mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak di bandar-bandar besar.

Sebelum ini beberapa negara pernah dilaporkan paling malas berjalan seperti Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia sedangkan di beberapa negara lain berjalan kaki sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat yang sudah disemai dalam diri warganya. Pihak pemerintah juga memberi dokongan penuh dengan menyediakan fasiliti terbaik bagi memudahkan pejalan kaki.

Sehubungan itu, kali ini CitaRasa kongsikan lima negara yang paling banyak berjalan dalam sehari berdasarkan data terkini dikeluarkan oleh RunRepeat.

1- China: 6,189 langkah

SECARA purata masyarakat di China berjalan 6,189 langkah sehari. Ini sekali gus menjadikannya yang tertinggi berjalan kaki di dunia. Kebanyakan bandar di China sangat sesak sehingga ramai orang memilih untuk berjalan kaki atau berbasikal untuk bergerak lebih pantas dalam keadaan trafik yang sesak.
Selain itu, orang-orang di China suka berjalan kaki kerana trend sosial seperti ‘berjalan di bandar’ yang menawarkan cara untuk menghilangkan tekanan dan meneroka persekitaran. Begitu juga berjalan memudahkan mereka ke pasar-pasar di sekitarnya. Oleh itu, tidak hairanlah masyarakatnya kekal aktif dalam kehidupan seharian mereka dengan berjalan kaki atau berbasikal untuk kebanyakan tugas dan tidak bergantung kepada kereta semata-mata. Bahkan dikatakan ramai individu China berjalan 20,000 langkah sehari, bahkan ada yang mencapai 100,000 langkah sehari.

2- Jepun: 6,010 langkah

ORANG Jepun terkenal dengan
berjalan kaki kerana gabungan faktor budaya termasuk penekanan kuat terhadap kesihatan, keperluan berjalan kaki untuk ulang-alik seharian dan populariti rutin berjalan berstruktur seperti latihan berjalan selang waktu atau dipanggil ‘Japanese walking’.
Kaedah ini melibatkan jalan berselang-seli antara langkah cepat dan perlahan. Banyak bandar di Jepun dibina untuk pejalan kaki dengan sistem pengangkutan awam cekap bagi menggalakkan berjalan kaki. Fasiliti dan sokongan pihak kerajaan membolehkan orang ramai jalan kaki tanpa bimbang.

3- Rusia: 5,969 langkah

ORANG Rusia secara purata berjalan 5,969 langkah sehari. Masyarakat Rusia gemar berjalan kaki untuk aktiviti riadah dan sosial yang disokong oleh perancangan bandar dengan taman besar seperti Moscow’s Gorky Park dan Red Square menjadi tempat popular tarikan pelancong dan juga warga tempatan. Taman ialah hab sosial utama bagi masyarakat di Rusia, menyediakan ruang untuk keluar berjalan-jalan bersama keluarga, bersantai dan berjumpa dengan rakan-rakan. Mereka menjadikan berjalan sebagai salah satu bentuk senaman sama ada berjalan santai atau berjalan kaki dengan kaedah Nordic walking, trend yang semakin popular untuk kesejahteraan mental dan fizikal.

4- Korea Selatan: 5,755 langkah

SETERUSNYA, orang Korea Selatan juga gemar berjalan kaki dengan purata 5,755 langkah sehari. Aktiviti ini merupakan gabungan budaya suka mendaki untuk melegakan tekanan dan beriadah bersama orang tersayang dengan disokong oleh persekitaran bandar maju.
Bandar-bandar di Korea Selatan direka bentuk untuk pejalan kaki dengan pengangkutan awam yang cekap, memudahkan mereka bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa perlu menaiki kereta atau berdepan dengan kesesakan trafik.
Oleh itu, berjalan dan mendaki merupakan hobi kebangsaan yang menawarkan cara untuk bersosial, menikmati alam semula jadi dan mengekalkan kesihatan, sekali gus ‘menolak’ gaya hidup tidak aktif.

5- United Kingdom: 5,444 langkah

Rakyat United Kingdom (UK) berjalan dengan purata 5,444 langkah sehari. Orang di UK suka berjalan kaki kerana gabungan faktor sejarah, budaya dan praktikal termasuk pengaruh Pergerakan Romantik (Romantic Movement), banyak rangkaian pejalan kaki dan hak laluan awam serta faedah kesihatan dan sosial.
Berjalan atau ‘rambling’ menjadi aktiviti masa lapang popular pada abad ke-18 dengan Pergerakan Romantik yang menggalakkan penghargaan terhadap alam semula jadi. Ini mewujudkan asas budaya untuk menikmati berjalan-jalan.
Aktiviti ‘rambling’ di kawasan luar bandar mempunyai akar yang mendalam dan rakyat Britain moden juga berjalan atas sebab praktikal seperti senaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN