KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan membuka siasatan berhubung isu pendaftaran pemain warisan melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya terdapat elemen baharu yang menjurus kepada salah laku.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini, siasatan masih belum dimulakan memandangkan ia dikategorikan sebagai isu teknikal antara badan induk berkenaan dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) termasuk melibatkan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
“Kita sudah mendapat penjelasan daripada FAM dan mendapati ia berkait dengan isu pengemukaan dokumen kepada FIFA. Begitupun, sekiranya selepas proses rayuan nanti timbul sebarang unsur yang mencurigakan, SPRM akan meneliti semula perkara itu,” katanya ketika ditemui di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor Suar) UniSZA.
Azam berkata, setakat ini, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada FIFA untuk mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh FAM berhubung keputusan tersebut. – KOSMO! ONLINE