AMPANG JAYA – Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki menyeleweng wang hasil jualan pakaian milik majikannya berjumlah lebih RM2,000 di Pusat Bandar Melawati, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengadu yang juga peniaga pakaian berusia 46 tahun membuat laporan pada 6 Oktober lalu selepas mendapati berlaku penyelewengan wang jualan sejak sebulan lalu.
“Hasil semakan mendapati setiap pembelian pelanggan telah dipindahkan ke akaun peribadi milik suspek dan bukannya ke akaun syarikat. Syarikat dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM2,140,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan wanita tempatan berusia 30 tahun di kawasan Taman Cemerlang, Gombak, pada pukul 3.55 petang, Khamis lalu.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad bank bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif dadah,” ujarnya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah meminta pelanggan membuat bayaran melalui kod QR milik akaun peribadinya tanpa disedari pelanggan.
“Permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE