KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelamatkan tujuh wanita warga India dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas dipaksa bekerja sebagai pekerja seks dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang, 30 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman menerusi Op Pintas (Eksploitasi Seks) kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, hasil operasi itu juga membawa kepada penahanan 12 individu termasuk dua lelaki tempatan serta lapan warga India berusia antara 21 hingga 63 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit.
“Siasatan mendapati kesemua mangsa datang ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah, tetapi dipaksa bekerja sebagai pelacur dan dikawal ketat oleh ahli sindiket.
“Beberapa mangsa turut dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan oleh sindiket tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Khamis lalu dan lima individu termasuk seorang anggota polis telah dituduh di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007.
Sementara itu katanya, lima lagi warga asing turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada semalam. – KOSMO! ONLINE