PETALING JAYA – Penyanyi dan pengacara Elly Mazlein mendedahkan beberapa kontrak kerjanya ditamatkan selepas memilih untuk tampil berhijab baru-baru ini.
Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, bagaimanapun tidak terkilan sebaliknya yakin dengan rezeki daripada Allah SWT.
“Memang betul selepas penghijrahan ini, ada yang kontrak tiba-tiba ditamatkan.
“Selepas itu ada yang saya sudah ‘booking’, tiba-tiba tarik diri.
“Macam-macamlah dugaan selepas berhijab tetapi saya percaya rezeki datangnya daripada Allah yang hadir dalam pelbagai cara dan bentuk,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Tambahnya, dia tidak perlu gentar sekiranya berdepan dengan dugaan sebegitu terutama dalam melakukan perkara yang baik.
“Sebagai manusia biasa, kita memang kadang-kadang ada perasaan risau tetapi saya sentiasa yakin dan tak perlu rasa takut sebab ada sahaja rezeki itu nanti untuk kita.
“Hilang dua, tiga atau empat tawaran kerja, insya-Allah Allah akan gantikan yang lebih indah dan baik untuk kita.
“Kita jangan risau. Kalau Allah kata itu rezeki kita, jadi memang untuk kita dah sebaliknya,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia terus mengharapkan doa orang ramai untuk dirinya yang baru sahaja berhijab.
“Saya berhara agar mendapat sokongan dan doa daripada kalian semua.
“Semoga dimurahkan rezeki, panjang umur dan perkara yang baik-baik sahaja. Itu pun antara rezeki juga.
“Tak mengapa, insya-Allah. Jangan takut untuk berubah,” jelasnya.
5 Oktober lalu, Kosmo! Online melaporkan perjuangan aktivis dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) antara asbab yang menjentik hati Elly untuk berhijab.
Keputusan untuk berhijab mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh. – KOSMO! ONLINE