PETALING JAYA – Keindahan alam hijau di tengah hiruk-pikuk kota kembali menjadi tumpuan apabila Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut isteri Perdana Menteri, Datouk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Usai perasmian, Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat beberapa taman pameran menarik yang mengambil bahagian antaranya Malaysia Heritage Garden, Asean Market Place, Environmental Art dan Garden of Heaven.
Penganjuran kali kedua festival dwitahunan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menjadi platform mendekatkan rakyat dengan keindahan taman bandar, selain memperkukuh peranan ruang hijau sebagai nadi kehidupan warga kota.
Festival yang berlangsung selama beberapa hari itu turut mengetengahkan pelbagai aktiviti berasaskan kelestarian, inovasi hijau serta seni reka landskap, seiring matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya beridentiti hijau, inklusif dan lestari.- KOSMO! ONLINE.














