PETALING JAYA – Sebuah sekolah menengah di Bandar Utama melaksanakan pemeriksaan keselamatan menggunakan alat pengesan logam (metal detector) terhadap pelajar sebagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terjamin.
Langkah tersebut diambil susulan insiden tragis baru-baru ini melibatkan kematian seorang pelajar di sebuah sekolah, yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di institusi pendidikan seluruh negara.
Menurut perkongsian di Threads, pemeriksaan dilakukan setiap pagi oleh pengawas sekolah menggunakan alat pengesan logam mudah alih bagi mengesan sebarang bahan berbahaya atau barangan terlarang yang mungkin dibawa masuk ke kawasan sekolah.
Antara barangan yang menjadi tumpuan termasuk senjata tajam, rokok elektronik (vape) dan peranti elektronik yang tidak dibenarkan.
Pihak sekolah dikatakan menjalankan pemeriksaan tersebut dijalankan dengan penuh berhemah tanpa menjejaskan privasi pelajar, selain menekankan bahawa langkah berkenaan hanya bertujuan memastikan keselamatan semua pihak.
Tindakan berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan orang awam.
“Langkah ini wajar dilakukan berikutan situasi semasa, asalkan ia dijalankan secara tertib dan menghormati pelajar,” kata seorang pengguna Threads.
Pemeriksaan keselamatan menggunakan metal detector lazimnya diamalkan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat berikutan peningkatan kes tembakan (school shooting).
Namun, pelaksanaannya di Malaysia kini dilihat sebagai usaha pencegahan awal bagi memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, suspek kes tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam, tidak pernah meluahkan perasaan cinta kepada mangsa. – KOSMO! ONLINE