ARAU – Pemuda UMNO Arau membuat laporan polis berhubung penularan rakaman audio mirip ucapan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menyentuh perbincangan bersama istana.
Setiausahanya, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata laporan itu dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat sama ada rakaman berkenaan melanggar undang-undang.
“Kita melihat kemungkinan wujud pelanggaran di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 atau peruntukan lain yang relevan. kerana pendedahan perbincangan tertutup antara kerajaan negeri dan istana adalah tidak wajar.
“Pendedahan sedemikian boleh menimbulkan tanggapan bahawa institusi diraja terlibat dalam urusan pentadbiran dan politik negeri,”katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Balai Polis Arau.
Ahmad Nazrin berkata, perkara itu boleh menjejaskan imej serta kedaulatan institusi diraja yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik.
Beliau memaklumkan rakaman berdurasi berkenaan disedari mula tular di media sosial sejak semalam di platform TikTok dan laporan polis dilakukan Pemuda UMNO Bahagian Arau kira-kira pukul 5 petang tadi.-KOSMO! ONLINE