PETALING JAYA – Teka-teki mengenai tarikh keputusan berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kes hukuman dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal didedahkan pada 30 Oktober depan.
Peguam sukan yang dilantik FAM, Serge Vittoz berkata, rayuan rasmi sudah difailkan pada 14 Oktober selepas menerima hukuman yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 26 September lepas.
“Situasi sekarang ialah keputusan asal telah dikeluarkan pada September. Dalam tempoh masa ditetapkan, kami memfailkan rayuan rasmi pada 14 Oktober,” katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, petang tadi.
Mengulas lanjut, Vittoz menjelaskan Jawatankuasa Rayuan FIFA akan menghantar keputusan kepada FAM pada 30 Oktober, sebelum disiarkan kepada umum beberapa hari kemudian.
“Kami dimaklumkan keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan. Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” katanya.
Menurut Vittoz, proses rayuan ini menjadi peluang penting bagi FAM mengemukakan hujah serta dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.
Jika keputusan Jawatankuasa Rayuan tidak memihak kepada Malaysia, FAM masih mempunyai saluran seterusnya untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi proses semakan lanjut.
“Selepas keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan ini, jika FAM atau pemain tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan rayuan ke CAS. Namun, proses di peringkat itu akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE