KELANA JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif skuad Harimau Malaya (Malaysia NT), Rob Friend mendedahkan pihaknya tidak terlibat dalam urusan dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan yang dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Menurut Friend, Malaysia NT hanya menguruskan aspek teknikal dan prestasi, manakala isu berkaitan dokumentasi dan pendaftaran pemain dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Penting untuk saya jelaskan bahawa pasukan kebangsaan tidak terlibat langsung dalam urusan dokumen. Kami hanya fokus kepada strategi, prestasi dan taktikal pasukan.
“Saya dan pengendali pasukan, Peter Cklamovski hanya menilai pemain dari sudut teknikal.
“Kami tidak menguruskan sebarang dokumen atau pendaftaran. Itu sepenuhnya bidang FAM bersama agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Friend yang dilantik memimpin Malaysia NT pada Januari lepas mengakui skuad Harimau Malaya hanya akan menurunkan pemain selepas mendapat kelulusan rasmi daripada FIFA.
“Apabila FIFA meluluskan status seseorang pemain, kami akan menerima dokumen rasmi daripada FAM, dan pada ketika itu barulah pemain berkenaan disahkan menyertai skuad kebangsaan.
“Apa yang pasti, saya akan terus ambil langkah melindungi pemain dan menjaga integriti pasukan kebangsaan. Mereka sudah berjuang untuk Malaysia, dan menjadi tanggungjawab kami memastikan mereka tidak menjadi mangsa,” katanya.
Sebagai rekod, FIFA telah menghukum FAM dan tujuh pemain kacukan berikutan kerana pemalsuan dokumen hingga mendorong FIFA meminta penjelasan lanjut berhubung kesahihan status pemain untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Selain hukuman denda yang perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari, tujuh pemain turut digantung selama 12 bulan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – KOSMO! ONLINE