TAIPEI – Sepasang suami isteri di Tainan, Taiwan menyaman sebuah tadika kerana didakwa menyuruh anak kembar mereka berlari sehingga 40 pusingan dan melakukan lompat bintang lebih 100 kali sebagai satu bentuk hukuman, lapor laman berita Must Share News semalam.
Menurut waris kanak-kanak berusia empat tahun itu, mereka mendapat tahu mengenai perkara tersebut selepas melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah, selain anak-anak mereka mengadu berasa letih dan enggan pergi ke tadika.
Dalam video yang dilihat, kanak-kanak tersebut dilihat bergelut melakukan hukuman-hukuman itu dan beberapa kali rebah ke tanah.
Menurut ibu bapa tersebut, kembar yang lebih tua diminta berlari 43 pusingan mengelilingi taman permainan, manakala si adik berlari 19 pusingan, 30 lompatan tali dan 103 lompat bintang.
Apabila salah seorang daripada kembar itu muntah, guru tersebut dilaporkan menghentikan hukuman tersebut dan menyatakan bahawa kanak-kanak itu makan terlalu banyak.
Selepas menerima aduan pada 26 Jun lalu, Biro Pendidikan Tainan menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa hukuman fizikal telah berlaku, tetapi menganggapnya sebagai kes terpencil.
Dua guru didenda sebanyak NT$54,000 (RM7,400) dan NT$48,000 (RM6,600) serta dikehendaki menghadiri latihan pemulihan.
Bagaimanapun, ibu bapa kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis dan menyaman guru-guru terbabit kerana mendakwa anak-anak mereka berisiko cedera akibat melakukan aktiviti fizikal yang ekstrem. – AGENSI