PHILLIP ISLAND – Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi menerima hukuman dua penalti long lap oleh panel Stewards FIM MotoGP selepas terbabit kemalangan dengan juara dunia 2025, Marc Marquez pada pusingan pembukaan Grand Prix (GP) Indonesia hujung minggu lalu.
Penalti tersebut akan dilaksanakan dalam perlumbaan GP Australia di Litar Phillip Island pada Ahad ini selepas sesi pendengaran ditangguhkan berikutan Bezzecchi perlu menjalani imbasan di hospital akibat kecederaan ringan.
Walaupun Bezzecchi sudah menjangkakan penalti itu, hukuman tersebut tetap mengganggu penampilan pelumba Itali tersebut kerana sebelum ini dia mencuri perhatian dengan meraih petak pertama dan kemenangan perlumbaan sprint di Litar Mandalika.
Dalam kemalangan di Selekoh 8, Bezzecchi tidak bermula baik dan dilaporkan merempuh bahagian belakang motosikal Marquez menyebabkan pelumba Sepanyol itu terjatuh hingga mengalami kecederaan serius keretakan tulang bahu serta kerosakan ligamen.
Akibat kecederaan tersebut, Marquez dijangka terlepas sekurang-kurangnya dua perlumbaan dan digantikan oleh pelumba ujian Ducati, Michele Pirro.
“Semasa perlumbaan GP Indonesia di Selekoh 8, Bezzecchi didapati menunggang secara tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan pelumba #93 (Marquez).
“Tindakan itu melanggar arahan khas dan membahayakan pelumba lain sekaligus melanggar Artikel 1.21.2 Peraturan Kejuaraan Dunia FIM,” menurut satu kenyataan semalam.
Selain Marquez, dua lagi pelumba tidak akan beraksi di Phillip Island ialah Jorge Martin, dan Maverick Vinales yang kini menjalani rawatan akibat kecederaan. – AGENSI