fbpx
Perdana MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pelanggan yang membeli barang keperluan menggunakan SARA pada Program Outreach SARA 2025 di Pasar Raya Ekonomi Rakyat, Baling baru-baru ini.

Belanjawan 2026 langkah nyata ringankan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belanjawan Rakyat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat lalu menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib rakyat marhaen di tengah-tengah tekanan kos sara hidup.

Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan mengambil langkah proaktif de­ngan memperkukuh dasar perlin­dungan sosial serta memperluaskan bantuan tunai supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat terbanyak.

Teras utama Belanjawan 2026 ialah pengukuhan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi tekanan ekonomi.

Di bawah pelan ini, sebanyak sembilan juta penerima STR akan turut menerima SARA sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, manakala sejuta penerima STR di bawah e-Kasih pula bakal menerima kadar lebih tinggi, iaitu RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Bagi golongan bujang, kerajaan memperuntukkan bantuan SARA sebanyak RM50 sebulan, atau RM600 setahun.

Kadar maksimum yang bakal diterima oleh isi rumah ialah RM4,600, iaitu mereka dengan pendapatan bawah RM2,500 sebulan dan memiliki lima orang anak menerima STR RM2,200 serta SARA berjumlah RM2,400.

Selain itu, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 yang diberikan buat kali pertama kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada 31 Ogos lalu diteruskan lagi pada tahun hadapan.

Bantuan itu akan disalurkan pada pertengahan Februari 2026 yang boleh dimanfaat untuk persiapan menyambut bulan Ramadan dan Tahun Baru Cina.

Menurut Anwar, STR dan SARA 2026 berjumlah RM15 bilion, ter­tinggi setakat ini berbanding RM13 bilion yang diperuntukkan pada 2025 adalah hasil penjimatan dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.

“Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun. Setiap penjimatan bermakna lebih ba­nyak dana untuk kebajikan, lebih banyak peruntukan untuk kos sara hidup, dan lebih banyak pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti,” katanya dalam ucapan Belanjawan MADANI Keempat.

Bagi Provost, Malaysia University of Science & Technology, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, jumlah pemberian STR dan SARA yang ditingkatkan bakal memberi lebih kelegaan kepada isi rumah.

Barjoyai Bardai

Jelasnya, bantuan tunai secara terus sama pentingnya dengan inisiatif peningkatan kemahiran dan pengwujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memandangkan ia akan membantu rakyat yang memerlukannya pada masa sekarang.

“Ada pengkritik yang berpandangan daripada memberi ikan, lebih baik ajar mereka memancing. Namun pada masa sama, ia hanya akan membuahkan hasil dalam jangka masa sederhana dan panjang, tidak dapat menyelesaikan keperluan rakyat ketika ini.

“Jadi kedua-duanya perlu berjalan seiringan. Untuk tingkatkan kesejahteraan hidup rakyat satu-satunya cara ialah menaikkan pendapatan mereka antaranya menerusi bantuan seperti STR dan SARA, kerana untuk mengurangkan kos sara hidup adalah amat sukar,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan bantuan tunai oleh Kerajaan MADANI jelas terlihat daripada sambutan masyarakat terhadap Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 baru-baru ini, yang mana lebih 70 peratus penerima telah memanfaatkan inisiatif berkenaan.

“Hal ini memperlihatkan ­kumpulan berpendapatan tinggi dan menengah atas turut menghargai bantuan diberikan dan meskipun mereka tidaklah memerlukannya secara serius, ramai yang memanfaatkannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

“Situasi ini juga dapat dimanfaatkan kerajaan untuk melihat pola penggunaan isi rumah, yang mana maklumat ini dapat digunakan untuk merancang bantuan atau subsidi pada masa depan,” katanya.

Manfaat kepada ekonomi

Selain memberikan bantuan tunai terus ke dalam poket ­rakyat, kerajaan turut memperkasa golo­ngan peniaga mikro, yang merupakan kumpulan perniagaan terbesar dari segi jumlah untuk membina daya tahan sambil memperkasa bisnes mereka mengharungi cabaran ekonomi.

Bagi Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, antara inisiatif yang paling menarik perhatiannya ialah pelua­san skop program jaminan pembia­yaan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) supaya turut mencakupi usahawan mikro.

Mohd. Afzanizam

Tambah beliau, satu lagi langkah yang diyakini mampu membantu mengawal beban kos sara hidup rakyat ialah pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksa­nakan projek baharu pengeluaran produk agromakanan.

Bagi syarikat sedia ada yang membuat pembesaran projek pengeluaran agromakanan, pengecualian cukai 100 peratus diberi untuk tempoh lima tahun.

Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran agromakanan, yang sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan dari luar negara.

“Selain daripada itu, Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM150 kepada 5.2 juta pelajar sekolah bakal diberikan bagi meringankan perbelanjaan ketika memasuki sesi persekolahan baharu.

“Langkah-langkah ini seharus­nya dapat memanfaatkan ekonomi negara dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.

“Dalam masa sama, komitmen yang jitu turut ditunjukkan kerajaan bagi memastikan disiplin kewangan terus didukung.

“Ini membantu meningkatkan kredibiliti kerajaan dalam menguruskan kewangan, terutamanya dari sudut pandang pemegang taruh seperti para pelabur asing dan agensi penarafan kredit.

“Situasi seperti ini akan menarik minat para pelabur pasaran untuk datang dan membeli bon-bon Kerajaan Malaysia. Sekiranya trend ini berterusan, nilai ringgit pasti dapat ditingkatkan lagi pada akan datang,” ujar Mohd. Afzanizam.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, belanjawan adalah sebuah pernyataan moral, sebuah ikrar sejarah, dan sebuah perjanjian yang tulus dan luhur antara kerajaan dengan rakyat terbanyak.

“Lazimnya, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan. Tapi kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat,” tegasnya.

Dalam suasana ekonomi yang penuh cabaran, Belanjawan 2026 menandakan langkah nyata untuk bukan sahaja menampung keperluan semasa rakyat, tetapi membina asas ke arah masa depan lebih adil, makmur dan inklusif untuk semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI