fbpx
Norlaili Ahmad (kanan) melihat gambar bapa mertuanya, Abd Razak Abd Rahman, yang ditunjuk oleh suaminya, Mohamad Abd Razak (kiri) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Rambong, Batu 7, Jalan Kroh, Baling hari ini.

‘Baliklah ayah, dah seminggu ayah hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – “Ayah, balik lah ayah, hari ni Jumaat dah, ayah kena solat Jumaat hari ni, baliklah ayah, seminggu dah ayah hilang, baliklah, kami tunggu ni,” rintihan Norlaili Ahmad, 63, apabila melihat gambar bapa mertuanya, Abd Razak Abd Rahman, 88, yang hilang sejak Sabtu lalu.

Begitulah rintihan Norlaili apabila bercakap dan melihat gambar ayah mertuanya, juga rasa terkilannya kerana tidak sempat bawanya ke hospital untuk periksa penyakit pasang surutnya.

“Sepatutnya ayah menjalani pemeriksaan penyakit pasang surut yang dihidapinya pada 12 Oktober iaitu sehari selepas kehilangannya, selain itu ayah tidak mengidap penyakit yang serius cuma ingatannya sahaja yang agak lemah.”

“Kami tak tahu di mana ayah berada, tiba-tiba ayah ghaib begitu sahaja, tiada petunjuk langsung, entah makan atau tidak, dalam keadaan musim hujan sekarang, di manalah ayah ada,” kata Norlaili ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambong Batu 7, Jalan Kroh, hari ini.

Menurutnya, ayah mertuanya disedari tiada di dalam rumah dan kawasan sekitarnya pada pukul lapan pagi, sebelum itu sekitar pukul tiga pagi, suaminya, Mohamad Abd Razak, 64, melihat ayah mereka masih berada di dalam biliknya.

Ayah mereka keluar sehelai sepinggang dengan memakai baju serta berkain pelikat yang dipakainya sejak semalan dan membawa tongkatnya.

“Puas kami mencarinya di rata ceruk, di sungai, hutan, kebun dan sebagainya, orang kampung pula tidak kira siang malam, pagi petang, merekapun bertungkus lumus mencarinya tetapi gagal mengesan di mana ayah berada.”

“Kaedah solat hajat, baca Yassin, perubatan tradisional juga telah dibuat dan kami buntu kerana tiada sebarang petunjuk, pihak bomba dan penyelamat juga berusaha mencarinya pada hari ke lima kehilangannya, tetapi mereka juga tidak dapat mengesannya,” kata Norlaili.

Katanya lagi, usaha mencari ayah mertuanya itu turut dilakukan di Pengkalan Hulu, Perak, yang bersempadan dengan Baling yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari rumah mereka.

Pencarian dilakukan di situ berikutan maklumat beberapa orang peniaga yang menjumpainya berjalan seorang diri di hadapan kedai mereka pada sebelah petang pada hari kehilangannya.

Sementara itu, seorang peniaga gas di Kampung Simpang Pulai, Pengkalan Hulu, Baharudin Hamid, 78, berkata, kelibat seorang lelaki tua yang berjalan kaki melintasi hadapan kedainya baru-baru ini diyakini warga emas yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

“Ketika hendak keluar rumah petang Sabtu itu untuk menghantar gas, saya ternampak kelibat dari belakang seorang warga emas bersama tongkat yang disandarkan pada bahunya berada di seberang jalan duduk dalam keadaan mencangkung.”

“Selepas saya berpatah balik daripada hantar tong gas kepada pelanggan kira-kira 10 minit kemudian, kelibat itu ‘hilang’, rasa musykil juga sebab nampak dia berjalan agak perlahan, dalam hati berkata cepatnya hilang,” kata Baharudin.

Katanya lagi, dia kemudian bertanyakan peniaga goreng pisang sama ada ternampak warga emas terbabit melintas simpang lampu isyarat menuju ke pekan Pengkalan Hulu, tetapi tidak, jadi dia yakin kemungkinan warga emas itu telah masuk ke kawasan perkampungan berhampiran rumahnya.

Dakwanya lagi, kelibat lelaki itu yang berkemungkinan Abd Razak turut disedari peniaga baju yang berniaga di sebelah rumahnya.

“Dia pun nampak warga emas jalan kaki di seberang jalan tetapi mulut kami rasa ‘terkunci’, selalunya akan panggil sesiapa sahaja yang lalu, bagi minum dan tanya dari mana…bila dia sedar balik, lelaki itu dah hilang…tak tahu ke mana,” dakwanya.

Katanya, setelah berita kehilangan tersebar, penduduk kampung dan sukarelawan membantu melakukan pencarian termasuk dirinya, namun sehingga kini belum menemui sebarang petanda.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh hubungi talian berikut: 013-3637339 (Mohamad Abd Razak) 013-4430339 (Norlaili Ahmad)

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki warga emas, Abd. Razak Abd. Rahman, 88, yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN