LANGKAWI – Kira-kira 80 peratus projek pembangunan koperasi di bawah Projek Sejati Madani Koperasi telah siap sepenuhnya.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak 20 projek telah diberikan kepada Angkasa dengan biaya berjumlah RM2 juta.
“Kedah menerima satu projek di bawah inisiatif ini melalui Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (Koptubas) di mana gerai jualan yang ada di situ dinaik taraf kepada karavan.
“Naik taraf ini dijangka dapat meningkatkan jumlah pendapatan penduduk di situ daripada di antara 30 hingga 50 peratus berbanding dengan gerai sebelum ini,” katanya di Akademi Myangkasa dan Resort Langkawi, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, antara projek lain yang telah disiapkan adalah projek ternakan ikan tilapia, projek ternakan ikan keli, spa dan projek jualan hasil orang asli.
Beliau turut menyeru agensi dan jabatan kerajaan untuk menyokong usaha pembangunan koperasi seperti itu yang dapat menjaga kesejahteraan ahli-ahli koperasi dengan memberikan rasa kebersamaan yang akan meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan untuk meminda atau mengubah undang-undang sedia ada bagi memastikannya mesra koperasi.
Jelasnya, koperasi masih belum diiktiraf sebagai entiti perniagaan secara terus yang menyebabkan kesukaran untuk memohon bantuan atau geran yang ditawarkan kerajaan seperti yang diberikan kepada industri kecil dan sederhana (IKS).
“Diharap kerajaan dapat mengubah suai atau memperbaiki akta-akta sedia ada supaya koperasi dapat diiktiraf sebagai entiti perniagaan,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE