Minggu lalu, negara dikejutkan dengan kejadian jenayah seksual melibatkan pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah di Melaka.
Kejadian 2 Oktober lalu yang menimpa mangsa berusia 15 tahun dipercayai dilakukan dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam serta ditonton dua pelajar lain dengan menggunakan telefon bimbit.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 6,462 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan sejak 2020 hingga 2024. Namun persoalannya, apakah faktor yang mendorong berlakunya salah laku seksual dalam kalangan kanak-kanak ini?
Menurut Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, punca kejadian rogol atau gangguan seksual terhadap kanak-kanak adalah sangat kompleks.
“Ia boleh berpunca dari pelbagai faktor iaitu individu, keluarga, sosial dan budaya. Faktor individu (si pelaku) berkemungkinan mereka gagal mengawal dorongan seksual dan bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan akibat.
“Ada sesetengah individu alami gangguan seperti pedofilia, iaitu tarikan seksual terhadap kanak-kanak atau mungkin terdedah dengan pornografi menyebabkan mereka ketagih dan mencetuskan rasa ingin mencuba di dunia nyata.
“Bagi sesetengah kes, puncanya adalah disebabkan pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan pelaku hilang pertimbangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata, antara faktor lain adalah keluarga tidak harmoni seperti berlakunya konflik rumah tangga, perceraian atau pengabaian menjadikan anak-anak terdedah kepada penderaan oleh ahli keluarga sendiri.
Jelasnya, disebabkan konflik itu, ibu bapa dilihat kurang memberi perhatian kepada anak-anak menjadikan mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga wujud aspek cuai selain faktor sosial dan persekitaran yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
“Sebagai contoh, pendedahan media tidak terkawal seperti filem, drama atau media sosial yang menormalisasi unsur seksual terhadap kanak-kanak, kehidupan sosial yang longgar dan pengaruh rakan sebaya, dorongan kumpulan tertentu yang anggap perbuatan itu sebagai tidak serius.
“Ada juga dalam kes tertentu, kanak-kanak jadi mangsa perdagangan seks atau eksploitasi kerana tekanan ekonomi keluarga,” ujarnya.
Katanya, kanak-kanak yang menjadi mangsa sudah pastinya akan mengalami trauma seumur hidup dan boleh berlarutan untuk jangka masa panjang melibatkan aspek emosi, fizikal, sosial, dan psikologi sehingga boleh mendorong mereka bertindak untuk menamatkan riwayat hidup.
Oleh itu, semua lapisan masyarakat harus melibatkan diri bermula dari rumah. Kempen kesedaran perlu dilaksanakan termasuk di sekolah selain mempertingkatkan pendidikan moral dan agama dengan didikan nilai menghormati maruah, hak orang lain dan empati.
“Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak, sediakan ruang selamat untuk mereka luah perasaan, menjadi contoh teladan yang baik, elakkan pertengkaran, keganasan atau bahan lucah di rumah.
“Ibu bapa juga perlu lindungi anak daripada persekitaran berisiko, usah biarkan anak bersendirian dengan orang tidak dikenali. Pelaku juga perlu dihukum setimpal sebagai pengajaran,” katanya.