fbpx
Seorang penduduk Kampung Medan menunjukkan keadaan rumahnya yang dilanda ribut dan puting beliung. Foto olh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/ KOSMO!

Ribut: ‘Ini paling besar, kuat sepanjang saya jadi MB Selangor’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ribut dan puting beliung yang melanda kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang disifatkan yang terburuk pernah berlaku di Selangor dalam tempoh empat tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan insiden tersebut memusnahkan banyak bangunan dan kediaman di lokasi tersebut.

Katanya, insiden seumpama itu pernah berlaku, namun hanya melibatkan kawasan kampung dan bendang di Sabak Bernam.

“Ribut kuat meruntuhkan rumah. Ini antara kejadian terbesar dalam masa tiga hingga empat tahun, paling kuat yang pernah berlaku.

“Saya rasa sepanjang menjadi Menteri Besar, ini yang paling kuat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan ribut dan puting beliung yang melanda Kampung Medan, Telok Panglima Garang menyebabkan lokaliti itu diisytiharkan bencana tahap 1.

Kejadian pada pukul 4.15 petang itu menyebabkan 40 buah rumah, lima buah sekolah dan dewan orang ramai mengalami kerosakan teruk.

Amirudin berkata, beliau menerima laporan kos pembaikian Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dianggarkan RM200,000 hingga RM400,000.

“Tentang kerosakan rumah, kita tengok balik berapa buah rumah yang terjejas atau terkesan akibat peristiwa sangat menakutkan itu. Esok saya akan dapatkan angkanya (jumlah keseluruhan kerugian).

“Kenyataan akan dibuat selepas selesai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menjelaskan langkah-langkah susulan tentang bencana selain influenza dan beberapa kes yang berlaku di sekolah,” katanya.

Jelasnya, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyalurkan RM400,000 bagi bantuan bencana melibatkan sekolah setakat ini.

“Bagi mangsa-mangsa, kita sudah ada peruntukan di bawah Tabung Bencana untuk RM500 satu rumah. Namun saya rasa nilainya lebih, nanti kita tengok sokongan lain sebab kali ini kesannya sangat buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI