SHAH ALAM – Pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu berkemungkinan menjadi antara faktor mendorong tindakan kejam seorang pelajar tingkatan satu membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti platform media sosial yang benar-benar memberikan pengaruh terhadap tindakan remaja berkenaan.
“Dalam kenyataan semalam, kita nyatakan suspek terpengaruh dengan media sosial. Media sosial ini luas, jadi kita beri ruang kepada polis untuk tentukan medium mana yang benar-benar beri pengaruh kepadanya.
“Permainan video berkemungkinan itu salah satunya,” katanya ketika ditemui selepas walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali, di sini hari ini.
Kata beliau, pemakaian sarung tangan oleh suspek dipercayai sebahagian daripada persiapan awal sebelum kejadian.
“Justeru, polis kini meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong tindakan suspek,” katanya.
Terdahulu, tindakan suspek yang bersahaja selepas melakukan pembunuhan menjadi perbincangan daripada di media sosial.
Ini termasuk daripada nota yang ditulis suspek berusia 14 tahun itu seperti ‘Zero Day’ yang dikaitkan dengan hari serangan dan NPC (Non Player Character).
Dalam pada itu, Shazeli berkata, seramai dua lagi rakan suspek telah direkodkan keterangan menjadikan jumlah keseluruhan 59 individu kesemuanya.
“Ada lagi, kita akan berusaha dapatkan keterangan yang lengkap supaya satu dapatan yang konklusif dan membantu polis beri cadangan bernas kepada pihak Pendakwa Raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE