LUMUT – Jabatan Perikanan Perak berhasrat menambah beberapa santuari atau kawasan pelindungan di negeri itu bagi melindungi spesies ikan-ikan sungai yang terancam dan semakin berkurangan.
Pengarahnya, Mohd. Ghazali A. Manap berkata, pewujudan santuari itu akan dilaksanakan sebaik sahaja pindaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 diluluskan kerajaan negeri.
“Antara ikan yang menjadi fokus jabatan adalah untuk dilindungi bagi mengelakkan kepupusannya ialah kelisa emas, kelah dan temoleh.
“Lokasi santuari itu termasuklah di Sungai Perak, Kuala Kangsar dan Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ghazali berkata, pihaknya tidak dapat membuat pengumpulan data berhubung spesies ikan yang mengalami kepupusan tersebut, namun berdasarkan inventori, mereka mendapati ada pengurangan dari segi pendaratan ikan-ikan itu.
“Sebelum ini berdasarkan tangkapan oleh nelayan darat, mereka mudah mendapat ikan temoleh. Bagaimanapun, kini mereka perlu dua tiga kali turun menangkap ikan, baru dapat temoleh. Itu adalah satu petanda spesies terancam,” katanya. – KOSMO! ONLINE