PUTRAJAYA – Pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mengesahkan pemberian hibah lebih 14.8 juta unit saham syarikat kepada dua anak lelakinya 28 tahun yang lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Kedua-dua anak Shamsuddin itu ialah Tan Sri Shahril, 64, selaku defendan pertama dan Datuk Shahriman, 56, yang dinamakan sebagai defendan kedua yang mana mereka masing-masing memperoleh 14.8 juta unit saham pada tahun 1997.
Pada tarikh itu juga, selain pengesahan pemberian hibah, mahkamah akan turut mendengar permohonan Shamsuddin untuk membatalkan pemberian hibah kepada defendan pertama iaitu Shahril.
Sejurus selepas prosiding pada sebutan kes hari ini, peguam syarie, Suhaimi Saad yang mewakili Shamsuddin berkata, notis saman terbabit telah diserahkan kepada defendan-defendan pada Isnin lalu manakala penyata tuntutan dua hari kemudian.
“Bagaimanapun, plaintif (Shamsuddin) mahu membatalkan hibah terbabit terhadap Shahril sahaja, atas alasan peribadi,” katanya yang turut hadir bersama seorang lagi peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman.
Dalam pada itu, peguam syarie, Mohd. Rafie Mohd. Shafie yang mewakili Shahril pula berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima permohonan hibah dan tuntutan tuntuan untuk berhubung pembatalan pemberian hibah terbabit.
Bagaimanapun dengan mengambil kira permohonan baru sahaja diterima tiga hari lalu, maka defendan meminta mahkamah menetapkan tarikh lain untuk prosiding seterusnya.
“Tempoh masa terlalu singkat, jadi anak guam akan memfailkan notis untuk membatalkan permohonan terbabit. Alasannya ialah, pegangan saham itu bukan merupakan hibah selain isu yang dibangkitkan berlaku pada tahun 1997,” katanya.
Pada masa sama, seorang lagi peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Shahriman selaku defendan kedua tidak membantah permohonan pengesahan hibah oleh plaintif.
“Ini kerana, hibah merupakan hak plaintif maka beliau berhak untuk memberi mahupun membatalkan pemberian hadiah itu,” katanya.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Niana Nazahar kemudian menetapkan 18 November bagi pengurusan kes seterusnya.
Berdasarkan tuntutannya, Shamsuddin menyatakan, beliau telah membuat majlis hibah pada 7 November 1997 di Bangunan Sapura, Ulu Klang di sini untuk menghibahkan secara lisan saham-saham miliknya di syarikat Sapura Holdings dan percaya rukun-rukun hibah telah disempurnakan mengikut hukum syarak.
Tuntutan yang difailkan pada 2 September lalu turut menyatakan saham-saham syarikat tersebut milik mutlak plaintif selaku pemberi hibah pada masa material sebelum dipindah milik dan didaftarkan atas nama defendan pertama dan kedua.
Oleh itu, plaintif memohon mahkamah membenarkan permohonannya untuk mengesahkan hibah tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 46(2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993).
Plaintif memohon pengesahan hibah kepada defendan masing-masing iaitu sebanyak 14.8 juta unit saham biasa bernilai RM1 setiap satu, sah dan menurut hukum syarak. – KOSMO! ONLINE