JOHOR BAHRU – Seorang pembantu restoran warga Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM3,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Yasin Abdul Karim, 43, yang juga berketurunan etnik Rohingya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada seorang penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) agar tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana telah melakukan satu kesalahan di bawah UUK 4 Undang-Undang Kecil Penjaja MBIP 2020 iaitu berniaga tanpa lesen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP, lebih kurang pukul 3 petang, 19 Januari 2023.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen tersebut adalah tidak boleh dijamin dan pihaknya tidak mencadangkan agar jaminan diberi.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Chai Chee Ping meminta mahkamah menggunakan budi bicara dan menawarkan jaminan munasabah kerana tertuduh menanggung isteri dan dua anak berusia 19 dan 13 tahun.
“Dia bekerja sebagai seorang pekerja restoran di Taman Universiti, Skudai dengan gaji RM3,500 sebulan. Dia merupakan pemegang kad UNHCR secara sah dan sudah berada di negara ini sejak 15 tahun lalu,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 19 November depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE