KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan mangsa berusia 16 tahun yang ditemui mati dalam tandas di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selasa lalu.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping, berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka.
“Anak saya sudah menjadi mangsa. Saya harap netizen hentikan penyebaran cerita palsu termasuk dakwaan tidak benar kononnya dia dirogol. Itu semua tidak betul. Saya hanya mahu tahu kebenaran, apa sebenarnya yang berlaku kepada anak saya,” katanya pada sidang media di Nirvana Memorial Centre, di sini hari ini.
Tambahnya, anak perempuannya merupakan seorang pelajar berdisiplin, aktif dalam sukan seperti bola tampar, serta baru memenangi tempat kedua dalam kejohanan badminton di ibu kota.
“Dia sangat menyayangi keluarga dan tahu menguruskan masa dengan baik. Kami masih terkejut dan sukar menerima apa yang berlaku,” ujarnya.
Menurutnya, beliau juga menafikan dakwaan bahawa mangsa mengenali suspek berusia 14 tahun tersebut, walaupun kedua-duanya bersekolah di tempat sama.
“Mereka tidak pernah berjumpa atau berhubung. Tiada surat, tiada mesej atau apa-apa kaitan.
“Suspek dikatakan memanjat masuk ke dalam ruang tandas dan bertindak menikam mangsa sebelum melompat keluar dari tempat itu. Anak saya sempat menjerit dan didengar guru tetapi telah ditemui dalam berlumuran darah,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga turut menafikan dakwaan bahawa bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim, mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek seperti yang ditularkan di media sosial.
“Pihak keluarga sudah membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu itu,” katanya.
Lee Ping turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengubah suai poster jemputan kod QR yang dikongsi untuk tujuan sumbangan, selepas terdapat penipuan menggunakan kod berkenaan.
Mayat mangsa dijangka akan disemadikan pada 20 Oktober ini, selepas semua urusan pengebumian selesai.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek lelaki berusia 14 tahun telah ditahan, manakala dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE